SEJARAH SEKOLAH


Mengikut apa yang tercatat dalam buku Harian Sekolah dan Papan Peringatan, juga maklumat daripada Pengerusi PIBG yang pertama iaitu Tuan Hj Daud Bin Jusoh menerangkan bahawa Sekolah Kebangsaan Pasir Tinggi ini dibuka pada 1hb. Jun 1957.

            Menurut Tuan Hj Daud, nama sekolah ini mengambil sempena nama Kampung Pasir Tinggi kerana pada waktu itu hanya ketua Kampung Pasir Tinggi sahaja yang ada. Melalui usaha Tuah Hj Daud dan beberapa orang penduduk kampung, mereka bermesyuarat dan meminta untuk menubuhkan sebuah sekolah.

            Apabila diluluskan mereka bergotong royong untuk membina sebuah bangsal yang dibuat daripa buluh dan batang nibong. Mereka membinanya di atas sebidang tanah yang luasnya lebih kurang 4 ekar yang terletak di Kampung Pantai Ali. Tanah ini dimiliki oleh seorang yang berhati mulia yang ingin melihat anak bangsanya menuju kearah kejayaan dan maju dalam bidang pendidikan terutamanya dalam bidang ilmu agama. Beliau adalah Encik Musa bin Murah yang tinggal dikampung Bukit Tadok, Kuala Telemong.

            Ukuran bangsal tersebut ialah 60 kaki dan lebarnya adalah 24 kaki. Murid pada waktu itu adalah seramai 40 oarang  termasuk lelaki dan perempuan. Ianya ditadbir oleh seorang guru yang dibantu oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sebagai “Sekolah Rakyat”. Guru besar yang pertama  yang bertugas disini ialah En. Mohamad Bin Kasim.

            Pada 1hb. Julai 1964, sebuah bangunan baru telah dibina. Bangunan itu mula digunakan pada 13hb. Oktober 1964. Bermula dari tarikh tersebut, nama sekolah telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Pasir Tinggi.

            Dalam tahun 80’ an, dua buah bangunan lagi telah dibina. Sebuah bangunan telah dijadikan sebagai bilik guru dan pejabat dan sebuah lagi dijadikan bilik-bilik darjah. Pada tahun 1994 pula, sebuah bangunan tambahan dua tingkat telah siap dan boleh digunakan. Bagunan itu juga digunakan sebagai bilik-bilik darjah dan juga sebuah perpustakaan.

            Pada tahun 2004 juga pihak sekolah mendapat sebuah bangunan baru yang menempatkan pejabat sekolah. Pada tahun 2005 pula, SK Pasir Tinggi telah mendapat sebuah bangunan kantin bagi mengantikan kantin lama yang kurang memuaskan. Bangunan kantin lama itu telah dibaik pulih dan telah dijadikan sebagai bilik guru yang baru dan lebih selesa. Dalam tahun itu juga sekolah ini telah menerima sebuah bangunan makmal computer yang menempatkan sebanyak 12 buah computer yang lengkap dengan kemudahan pelayaran jalur lebar(internet).

            Pada bulan Julai 2006, SK Pasir Tinggi telah mendapat peruntukan daripada pihak kementerian untuk membina sebuah bangunan makmal sains yang baru menggantikan bilik sains lama yang kurang kelengkapan.